Monday, April 26, 2010

Sayonara

Tade masalah pun dgn asy'iroh mathuridiah & manhaj azhar.
Tapi yg jadi masalah bile org start buat fitnah.
Fitnah wahabi sesat, wahabi mujassimah.
Inilah punca masalah.

Imam asya'ari & mathuridi mereka sifat 13 & 20 bagi Allah tu sbb nak counter fahaman muktazilah mase zaman tu. Bagusla jasa dorg tu. Tapi sememangnya yg lebih baik & yg terbaik manhaj akidah salafussoleh, kita tak banyak2 soal, kita serah dekat Allah. Simple je nak faham.

Korang bleh tgk perangai mahasiswa azhar melayu pasni.
Nilai pemikiran & tindakan dorg drp aspek politik, aspek agama.
Dorg pun buat banyak silap walaupun bergelar ustaz.
Aku nak tukar method plak.
Pasni nak banyak buat keje underground, pegi jumpe face to face ngan ustaz2 tu.
Dorg tak patut teruskan perangai camtu.
Tak kesahla benci Umno sangat ke, tapi dalam ape2 hal kene jujur.
Kalo menipu je, terus out.

Camane fahaman aku, fikrah aku?
Ni ade artikel tentang ideologi2 yg berkaitan oleh Ustaz Hadi Awang, presiden PAS.
Kita tolak tepi dulu penglibatan dia dalam politik, kita nilai pendapat dia dgn ilmiah.
Dan camnilah fikrah aku. Simple je.
Yg buat complicated ni bile ade org start buat fitnah.

Selamat pekse, jangan buat bid'ah, hidupkan sunnah, jgn buat dosa, tambahkan pahala.
Islam ni mudah, islam ni bukan agama pemujaan manusia even bukan agama yg memuja perutusan dr Allah, Nabi saw sendiri. Antara timur dan barat, liberal dan konservatif, berat dan ringan, islam ni sederhana. Pucuk pangkalnya, yg paling mahal akidah kita. Maka jagalah akidah kita betol2.

Kalau ade terase hati aku mintak maaf.

Mohd Peng.

---------------------------------------------------------------------

DS Haji Abdul Hadi Awang telah menyampaikan kuliah pagi jumaat di Masjid Rusila, Marang, Terengganu, mengenai Mazhab dan pegangan & akidah dunia Islam. Syarah Kitab Lahirnya Beberapa Firqah Di Kalangan Umat Islam. Teks kuliah tersebut boleh di baca / dengar di: http://mazhab.sementoji.net/v1/?p=13

Dan telah dibukukan dengan judul “FAHAMAN & IDEOLOGI UMAT ISLAM”, terbitan PTS Islamika, 2008.

Di bawah ini adalah Petikan Kuliyah Jumaat: 13 Oktober - 10 November 2006 mengenai Ahli Sunnah.

Ahlul Sunnah Wal Jamaah

Mereka adalah golongan yang berpegang teguh pada al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad serta orang-orang yang mengikut jejak langkah mereka. Generasi paling awal dan utama di kalangan mereka adalah para sahabat, kemudian diikuti oleh para tabi’in dan orang-orang yang menurut jejak langkah mereka. Generasi pertama di kalangan mereka dikenali dengan nama Salaf. Mereka berpandukan al-Quran dan sunnah tanpa menghuraikan kenyataan yang samar (mutasyabihat) dan menyerah maksudnya kepada Allah. Ini berpandukan kepada kenyataan Allah dalam surah Ali Imran, ayat 7,

Maksudnya: “Dia lah Yang menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab suci Al-Quran. sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang mutasyaabihaat kerana mempunyai tujuan menimbulkan fitnah dan mencari takwilnya. Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:” Kami beriman kepada-Nya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.”

Pada zaman awal, mereka tidak banyak berhujah menggunakan logik kerana mereka bersikap menerima tanpa perlu banyak berhujah tentang apa sahaja yang dinyatakan dalam al-Quran, sunnah dan para sarjana Islam, sahabat dan tabi’in.

Mereka itu terdiri daripada pelbagai bidang kegiatan. Ada yang bergiat dengan mendalami ilmu agama dalam berbagai-bagai bidang, seperti akidah yang berkaitan dengan perkara-perkara beriman kepada Allah, perkara-perkara kenabian dan risalah, dan rukun-rukun iman yang lain, mendalami ilmu al-Quran dan sunnah, ilmu fikah dan akhlak. Ada pula yang memberi perhatian khusus dengan merekod sanad iaitu turutan penyampai yang dipercayai daripada Nabi Muhammad bagi menjamin keselamatannya daripada kepalsuan. Ada yang mendalami ilmu qiraat. Ada vang sibuk dengan perkara-perkara membersihkan hati dan jalan untuk menghampirkan diri kepada Allah yang dikenali dengan golongan tasauf. Ada yang menghabiskan umur berjihad di medan perang mempertahankan Islam dan memerangai musuh-musuhnya. Ada yang sibuk dengan ilmu-ilmu bahasa Arab seperti nahu (tatabahasa), sorof, balaghah, sastera dan sebagainya yang menjadi alat penting bagi mempelajari agama dengan bahasanya. Dan ada pula yang sibuk dengan urusan-urusan lain tetapi mereka adalah pengikut setia kepada Ahli Sunnah wal Jamaah.

Dalam perkara pemerintahan mereka bersepakat menegaskan wajibnya melantik khalifah sebagai memimpin umat dan melaksanakan hukum Allah yang diamalkan oleh Nabi Muhammad semasa hayatnya. Mereka juga berpendapat khalifah itu daripada kalangan Quraish kerana golongan itu paling kuat dan berpengaruh pada masa itu. Khalifah itu mesti melafazkan bai‘ah iaitu ikrar setia dalam perkara yang tidak bercanggah dengan Allah dan rasulnya. Lafaz ikrar setia ini dilakukan oleh umat Islam atau wakil mereka yang dinamakan Ahlu Halli wal Aqdi. Mereka berpendapat, mesyuarat dianjurkan dalam perkara yang tidak ada nas daripada al-Quran dan hadis. Jadi, khalifah, Ahlu Halli wal Aqdi dan mereka yang mengendalikan urusan negara itu mesti adil daripada pengaruh peribadi mengendalikan urusan negara. Rujukan yang menjadi ukuran adil itu adalah kitab Allah dan sunnah Nabi Muhammad.

Mengenai para sahabat, mereka menjunjung tinggi semuanya, mengakui keempat-empat khalifah ar-Rasyidin adalah orang yang paling layak pada zaman masing-masing. Mereka memohon supaya Allah mengampuni para sahabat dalam pertelingkahan dan peperangan yang berlaku di kalangan mereka. Ini kerana jasa mereka besar bagi menegakkan kalimah Allah walaupun di antara mereka sudah tentu ada yang tersalah dalam pertelingkahan itu. Inilah yang disifatkan oleh Allah dalam al-Quran surah al- Hasyr, ayat 10,

Maksudnya: “Dan orang-orang yang datang kemudian daripada mereka berkata, “Wahai Tuhan kami! Ampuni kami dan saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah engkau menjadikan dalam hati kami perasaan hasad dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat limpah belas kasih-Mu dan maha penyayang”.

Generasi pertama ini tidak menamakan diri mereka dengan nama-nama fahaman tertentu. Ini kerana umat Islam pada masa itu bersatu daripada segi hidupnya, para sahabat yang masih hidup menjadi tumpuan bagi bertanya masalah. Amalan ini juga berlaku pada zaman para tabi’in. Mereka bukan sahaja tidak mentakwilkan ayat-ayat mutasyabihat, sebaliknya menyandarkan apa yang dinyatakan oleh Allah dan Nabi Muhammad tanpa sebarang tokok tambah dan menghuraikan secara meleret-meleret.

Kesemua imam mazhab yang terkenal seperti Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad bin Hambal, Sufian as-Sauri dan lain-lain berpegang dengan aliran salaf ini.



Sejarah Kemunculan Mazhab Al-Asyairah

Apabila negara Islam berkembang luas, berlaku perbincangan antara saudara-saudara baru mengenai agama. Antara topik yang terpenting adalah membicarakan masalah akidah. Hasil daripada beberapa perbincangan, lahir berbagai-bagai fahaman yang berpandukan logik. Akibatnya, ada yang terpesong dalam memahami teks al-Quran yang sebenar. Walau apapun berlaku, Allah berjanji memelihara agamanya dengan melahirkan sarjana yang mempertahankan akidah yang tulen. Antara sarjana-sarjana itu adalah Imam Abu Hasan al-Asy’ari.

Abu Hasan al-Asy’ari dilahirkan di Basrah pada tahun 260 Hijrah. Beliau pernah berpegang pada fahaman Muktazilah dan berguru kepada ayah tirinya Abu Ali aljubbai. Selepas berusia 40 tahun, beliau berfikiran matang dan tekun mengkaji secara mendalam. Pada suatu hari, beliau berdebat dengan ayah tirinya dalam mengenai kehidupan selepas mati. Selepas berdebat dengan ayah tiri beliau, Abu Hasan al-Asy’ari bangun berucap di Masjid Basrah lalu mengisytiharkan dirinya keluar daripada fahaman Muktazilah dan berpegang pada Ahli Sunnah wal Jamaah.

Abu Hasan al-Asy’ari membuat pembaharuan dalam aliran Ahli Sunnah dengan mengemukakan hujah-hujah logik akal serta teks-teks al-Quran dan hadis yang ada. Hujah-hujah yang dikumpulkan cukup kuat bagi mematahkan hujah Muktazilah yang pesat berkembang pada masa itu. Beliau berjaya mengumpulkan ramai murid dan pengikut. Kemudian, lahir golongan Ahli Sunnah wal Jamaah dikenali sebagai Asya’irah iaitu golongan pengikut fahaman Abu Hasan al Asy’ari.

Antara teori Abu Hasan al-Asy’ari adalah mengemukakan 13 sifat yang wajib bagi Allah secara terperinci iaitu:

1- Ada

2- Bersedia

3- Kekal

4- Berlawanan dengan sesuatu yang baru

5- Berdiri dengan sendirinya

6- Satu

7- Berkuasa

8- Berkehendak

9- Mengetahui

10-Hidup

11- Mendengar

12-Melihat

13-Berkata-kata



Beliau juga menghuraikan perkara taklid iaitu mengambil pendapat orang lain tanpa hujah yang menguatkannya ataupun tidak dalam perkara yang berkaitan dengan sifat-sifat itu. Beliau menghuraikan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kepercayaan pada rukun-rukun iman.

Aliran Asya’irah ini berkembang dengan pesatnya di Iraq. Kemudian, ia berkembang di Mesir pada zaman Salahuddin al-Ayyubi, di Syiria dengan sokongan Nuruddin Zanki, di Maghribi dengan sokongan Abdullah bin Muhammad, di Turki dengan sokongan Uthmaniah dan di daerah-daerah yang lain. Ideologi ini juga didokong oleh sarjana-sarjana di kalangan mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Antara mereka adalah al-Asfaraini, al-Qafal, aljarjani dan lain-lain sehingga sekarang.

Pembaharuan yang dibawa oleh Abu Hasan al-Asy’ari adalah dengan mengemukakan hujah logik dengan disertakan hujah teks al-Quran dan hadis Nabi Muhammad. Hujah-hujah ini membawa kekuatan kepada Ahli Sunnah wal Jamaah bagi menghadapi hujah golongan Muktazilah yang pesat berkembang dan mendapat sokongan daripada pemerintah-pemerintah kerajaan Abbasiah. Akhirnya, golongan Muktazilah bukan sahaja dibendung dengan hujah, tetapi kerajaan yang ditubuh kemudiannya memberi sumbangan politik yang besar bagi mempertahankan dan mengembangkan fahaman Asya’irah. Di samping itu, lahir tokoh sarjana Islam yang menyambung aliran fahaman ini seperti Abu Abdullah bin Mujahid, Abu Hasan al-Bahili, Abu Bakar bin al-Taib al Bakillani, Abu Bakar bin Furak, Abu Ishak al-Asfiraini, Abu Muhammad aljuwaini, Abu Mazfir al-Asfaraini, Imam al-Haramain aljuwaini, Hujah Islam Imam al-Ghazali, dan Imam Fakruddin al-Razi.

Imam Abu Hasan al-Asy’ari juga meninggalkan beberapa buku yang dikarangnya dan yang masih ada pada zaman sekarang antaranya Al-Ibanah Min Uslul Dianah. Dalam buku ini, beliau menyokong dengan tegas kepada Imam Ahmad bin Hanbal yang dipenjara dan didera oleh kerajaan Abbasiah yang menyokong Muktazilah pada zamannya. Begitu juga dalam buku Al-Luma’ Fir Raddi ‘Ala Ahlil Zaighi wal Bida‘i beliau mendedahkan hujah logik dan teks. Buku Maqalatul Islamiyiin mendedahkan fahaman-fahaman yang timbul dalam ilmu Kalam dan menjadi rujukan penting dalam pengajian fahaman-fahaman akidah. Buku Istihsan al-Khaudhi Fil Ilmu Kalam pula adalah risalah kecil bagi menolak hujah mereka yang mengharamkan ilmu Kalam.

Walaupun ada di kalangan sarjana Islam terutamanya di kalangan mazhab Hanbali yang menyanggah beberapa hujah dan kaedah yang dibawa oleh Abu Hasan Asy’ari, ia tidak menafikan jasanya mempertahankan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Fahaman beliau berjaya mematikan hujah-hujah Muktazilah yang terpesong jauh iaitu membicarakan al-Quran sebagai kata-kata Allah yang kekal, isu melihat Allah pada hari Kiamat, membetulkan perkara yang berhubung dengan Qada’ dan Qadar dan lain-lain dan menjadi golongan pertama yang menamakan Ahli Sunnah Wal Jamaah di tengah-tengah kelahiran pelbagai fahaman pada zamannya.

Imam Abu Hasan Asy’ari meninggal dunia pada tahun324 Hijrah dengan meninggalkan pusaka ilmu yang terdiri daripada buku-buku karangan beliau serta murid-murid yang meneruskan perjuangannya. Akhirnya, ia meninggalkan aliran pengajian akidah yang dianuti oleh sebahagian besar umat Islam hari ini dalam melanda cabaran-cabaran baru yang tidak ada pada zamannya. Seterusnya aliran ini memerlukan pembaharuan lagi dalam mengemukakan hujah-hujah kontemporari bagi mempertahankan akidah yang sebenar.



Al-Maaturidiyyah

Di sebelah timur negara Islam iaitu di daerah Maturid, wilayah Samarkand, lahir sarjana Islam yang bernama Muhammad bin Muhammad bin Mahmud Abu Mansur Maturidi. Beliau lahir pada tahun 332 Hijrah. Beliau membawa aliran ideologi akidah dalam fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah bagi menghadapi beberapa penyelewengan pada zamannya. Beliau adalah sarjana Islam dalam mazhab Hanafi.

Beliau muncul di Asia Tengah pada waktu masyarakat Islam dilanda aliran ideologi yang menyeleweng daripada akidah yang sebenar. Antaranya mazhab Muktazilah, Mujassimah, Muhammad bin Karam Sajassatani iaitu pemimpin fahaman Karamiah, Qaramitah yang dipimpin oleh Hamdan As’ad, Jaham bin Safuan iaitu pemimpin fahaman Jahamiah, dan ahli tasauf Husin bin Mansur al-Hallaj. Imam Abu Mansur Maturidi membawa peranan yang besar bagi menghadapi penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh mereka.

Walaupun beliau hidup sezaman dengan mazhab Imam Abu Hasan al-Asy’ari, namun beliau mempunyai teknik berhujah dan huraian yang berbeza. Para sarjana Islam menyatakan, Imam Abu Mansur Maturidi lebih cenderung kepada pendapat Imam Abu Hanifah dalam perkara akidah. Ini kerana beliau merujuk risalah-risalah dan buku-buku yang ditulis oleh Imam Abu Hanifah seperti Fikh Akbar, Fikh Absat, Kitab Ilm dan sebagainya.

Terdapat beberapa perselisihan antara Abu Mansur Maturidi dengan Abu Hassan al-Asy’ari. Antaranya dalam isu Makrifatullah (mengenal Allah), Abu Hassan menyatakan wajib mengetahuinya menurut sumber agama tetapi Abu Mansur berkata wajib juga dengan berpandu dengan akal. Dalam isu sifat-sifat Allah, Abu Mansur menambah dengan sifat-sifat maknawiyah iaitu sifat yang menjadi penguat kepada sifat Ma’ani beserta sifat-sifat Ma’ani. Fahaman Maturidiah mewajibkan hukum akal beserta syarak sehingga beliau berselisih dengan sebahagian sarjana Fikah dan Hadis. Terdapat lagi huraian-huraiannya berhubung Qada’ dan Qadar dan lain-lain yang berbeza dengan huraian fahaman Asya’irah.

Abu Mansur Maturidi meninggalkan pusaka ilmu yang banyak selain membela fahaman Ahli Sunnah bagi menghadapi pelbagai fahaman yang menyeleweng. Pusaka ilmunya adalah murid-murid yang ramai dan pengikut-pengikut yang meneruskan ajarannya. Antara murid-muridnya adalah Abu Ahmad Iyad, Abu Qasim Hakim Samarkandi, Abu Hussin Wastaqfani, Abdul Karim bin Musa Inbazadari, Abu Asyimah Abi Lais Bakhari dan lain-lain. Antara pengikut-pengikut yang meneruskan alirannya adalah Sadar Islam Abu Yasir Muhammad bin Muhammad bin Abdul Karim Bazadui, Maimun bin Muhammad Nasfi yang dianggap tokoh sarjana terbesar dalam fahaman ini selepas Abu Mansur. Adakala sebahagian menganggap mereka adalah kumpulan kecil seperti Syaharsatani dalam fahaman Asya’irah, Najmuddin Abu Hafiz Samarqandi Nasqi, Nuruddin Ahmad bin Muhammad Syobuni, Bukamal bin Yam iaitu sarjana terbilang dalam fahaman Hanafi dan lain-lain lagi.

Buku-buku yang dikarang oleh Abu Mansur Maturidi adalah buku Jadal dan Ma ‘akhiz Syarai’. Kedua-dua buku ini membincangkan Usul Fikah. Buku-buku dalam ilmu ketuhanan antaranya, Tauhid, Muqalaat, Ra’du Ala Qawashat, Bayan Wahm Muktazilah, Ra ‘du Amamah Libaddu Rawafaz dan banyak lagi. Apa yang mendukacitakan, buku-buku itu hilang begitu sahaja. Buku yang masih tersimpan adalah buku Tauhid dan Maqalaat Selain itu ada buku-buku beliau dalam ilmu yang lain.

Abu Mansur Maturidi juga seperti Abu Hassan Asy’ari yang membawa pembaharuan dalam pengajian akidah. Beliau memasukkan hujah-hujah logik akal semasa menghadapi perkembangan fahaman baru yang timbul pada zamannya. Pada zaman para sahabat dan generasi awal kalangan tabi’in termasuk imam-imam mujtahidin yang pertama lebih bergantung kepada hujah-hujah teks daripada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad sahaja.



Salafiah

Selepas lahir pelbagai teori mengenai akidah, lahir fahaman-fahaman yang bukan sahaja berhujah dengan logik tetapi juga menggunakan falsafah. Maka lahir pula dalam masyarakat Islam orang-orang yang mahu supaya kembali pada sumber asal sahaja. Mereka muncul pada zaman terkini iaitu pada kurun ke tujuh Hijrah. Sebenarnya, mereka adalah daripada aliran Imam Ahmad bin Hanbal dan teori itu dihidupkan semula. Tokoh yang terkemuka adalah Imam Ibnu Taimiyah. Beliau dan pengikut-pengikut menentang keras golongan yang cuba menghurai ayat-ayat yang mutasyabihat. Golongan ini mahu supaya ayat-ayat yang mutasyabihat tidak dihurai. Mereka hanya menyebut sifat-sifat Allah berpandukan teks-teks yang jelas dalam al-Quran dan hadis. Antara ayat-ayat yang mutasyabihat seperti nuzul (turun), istiwa’ (bersemanyam), al-dhahaq (ketawa) dan lain-lain dengan tidak menyamakan Allah dengan makhluk. Selain itu, mereka membangkitkan kembali isu amalan masyarakat dengan huraian-huraian yang panjang mengenai dengan perkara-perkara yang membawa kepada syirik, seperti kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam perkara tawassul (mohon perantaraan), ziarah kubur dan sebagainya.

Mereka juga tegas menentang penggunaan ilmu logik menyebabkan golongan salaf yang baru ini bergeser dengan fahaman Asya’irah dan Maturidiah yang menjadikan ilmu logik sebagai sebahagian daripada perbincangan akidah. Golongan salaf ini menolak huraian ayat-ayat mutasyabihat yang dilakukan oleh Asya’irah dan Maturidiah. Ibnu Taimiyah yang hidup pada abad yang ketujuh Hijrah menjadi tokoh terkemuka dengan mengemukakan hujah-hujah melalui buku-buku yang karangannya.

Oleh kerana aliran ini dibawa oleh Imam Ahmad bin Hanbal, mereka hanya meneruskan aliran yang dibawa oleh Imam Ahmad. Beliau ingin perbincangan dan pengajian akidah dikembalikan seperti zaman Nabi Muhammad, para sahabat dan tabi’in. Walaupun ada cabaran baru yang tidak ada pada zaman mereka, kadang-kadang hujah logik dan falsafah perlu digunakan bagi menolak hujah golongan-golongan seperti Muktazilah, Jabariah dan sebagainya.



Wahabiah

Fahaman Wahabi yang tersebar di Arab Saudi dan beberapa daerah dalam dunia Islam ditaja oleh pemimpinnya Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Ia adalah kesinambungan daripada aliran salaf yang dibawa oleh Imam Ahmad dan Ibnu Taimiyah. Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab mendapat kekuatan apabila beliau bergabung dengan keluarga Ibnu Saud. Akhirnya, mereka berjaya mengambil alih kuasa di Semenanjung Arab dan membentuk kerajaan beraja Arab Saudi.

Fahaman Wahabi dengan tegasnya mengemukakan dua prinsip yang penting iaitu tauhid yang bersih dari sebarang syirik, dan menghalang sebarang bentuk bid’ah (ajaran baru). Halal dan haram diambil terus daripada sumber al-Quran dan hadis Nabi Muhammad. Sebarang perkataan sarjana Islam perlu dikaji semula, lalu mereka membuka kembali ruang mengeluarkan hukum dengan luas. Mereka menentang ziarah kubur wali-wali dan menganggap amalan ini membawa kepada syirik. Namun, hukum berbeza apabila menziarahi kubur bagi tujuan mengambil pengajaran dan memperingati hari akhirat bukannya dengan tujuan berdoa kepada si mati atau bertawassul melalui orang yang sudah mati. Semasa mereka menguasai Makkah dan Madinah, mereka bertindak merobohkan bangunan-bangunan yang didirikan atas kubur-kubur para sahabat, para tabi’in dan tempat-tempat bersejarah yang dipuja secara melulu.

Mereka menentang perayaan seperti maulid (sambutan hari lahir) dan sebagainya yang tidak ada pada zaman Nabi Muhammad dan mengemukakan beberapa pendapat yang lebih keras daripada Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Taimiyah. Fahaman ini disokong oleh gerakan Syeikh Muhammad Abduh di Mesir, Syeikh Abdul Hamid bin Badis di Algeria, Syeikh Ahmad di Punjabi, India dan beberapa tempat lagi dunia Islam.



KESIMPULAN MAZHAB AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

Kesemua mereka yang disebut di atas adalah daripada golongan Ahli Sunnah wal Jamaah. Walaupun terdapat pertelingkahan dan perselisihan yang keras dan tajam antara satu sama lain, namun pertelingkahan itu tidak tersasar daripada dasar-dasar akidah. Walau bagaimanapun, ia boleh membawa kesan-kesan buruk dalam hubungan sesama umat Islam. Perselisihan pendapat dan pentafsiran itu adalah perbezaan fahaman dalam mentafsirkan teks yang sama dan kadang-kadang kerana perbezaan masa dan tempat serta cabaran yang dihadapi dan keperluan hujah bagi menghadapi cabaran luaran.

Dengan kemudahan sumber-sumber rujukan dan hubungan yang ada pada zaman ini menghidupkan semula persefahaman sesama aliran. Pada masa yang sama ia tidak dihabiskan dengan pertelingkahan sesama sendiri tetapi lebih memberi tumpuan bagi menghadapi masalah pokok yang melanda umat Islam dan menentang musuh yang sebenarnya.

Sumber: http://mazhab.sementoji.net/v1/?p=13
Sumber: http://www.abuanasmadani.com/?p=545#more-545

3 comments:

  1. assalamualaikum abg peng,
    di sini sy ingin bertanya, adakah benar wujud istilah bidaah hasanah dan bidaah dholalah?
    harap dpt reply ngan segera....

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumussalam wbt.

    Mtk maaf lambat reply, baru je usyar blog.
    Mula2 sekali, sepi kene tahu, yg nabi saw ajar, "semua bid'ah adalah sesat & yg sesat tu di neraka."

    Setakat yg sy tahu, ulama khilaf bab ni.
    Malah ade ulama sampai bahagi bid'ah kepada lima, bid'ah wajib,haram,makruh,sunat,harus (Imam Izzuddin Abd Salam)
    Tp imam syatibi bagitahu, pembahagian yg dibuat imam izzuddin ni hanyalah dari sudut bahasa, bukan syara', bukan dari sudut hukum.
    Jadi pembahagian bid'ah kpd 5 ni tak boleh dipakai utk bhukum.

    Sebenarnya banyak lagi pendapat2 ulama ttg wujud atau tak bid'ah hasanah ni. Contohnya imam shafi'e bahagi bid'ah kpd mazmumah & mahmudah, tp dah dijawab. Sy lupe sape ulama yg jawab & ape jawapan die.

    Secara peribadi, sy berasa lebih yakin dgn pendapat2 ulama2 saudi, Dr Yusuf Qaradawi, di mana mereka ni menolak kewujudan bid'ah hasanah.

    Utk hujah logik, kalo ade org kate wujudnya bid'ah hasanah, cuba saudara sepi pegi tanye kt die, Amidah Wadud baca khutbah jumaat & jadi imam jumaat tu bid'ah ke tak?
    Zaman Nabi takde org duk buat camtu.
    Jadi, tak dpt tidak mesti dorg akan kata benda tu bid'ah.
    Tapi adakah benda tu bid'ah hasanah atau dholalah?
    Mereka yang bahagikan bid'ah kepada hasanah & dholalah, camane dorg nak jawab?

    Kalo ikut manhaj yg sy ikut mudah.
    Bid'ah ni adalah jalan agama yg dibuat dgn tujuan utk berlebihan mencintai Allah, tak bersandaran dari Nabi saw. Banyaknya dlm hal ibadat.
    Jadi perbuatan aminah wadud tu, tade sandarannya dari nabi, maka ia sesat.

    Camane kalo tulis mushaf quran? reka ilmu tajwid?ilmu fiqh?usul fiqh?

    Gol. yg mempertahankan kewujudan bid'ah hasanah ni salu duk perguna hujah ni.

    Manhaj atau jalan kami jelas, benda2 mcm mushaf quran, ilmu tajwid, reka kereta, website quran online dan benda2 lain yg takde time zaman nabi, benda2 ni adalah termasuk dlm bab masolehul mursalah, keuntungan umat.
    Kalo ikut takrifan bid'ah yg sy tulis kt atas (tu takrifan imam syatibi kalo sy tak silap) benda2 ni bukan dibuat kerana nak berlebihan mencintai Allah, tapi untun kemudahan umat, keuntungan umat.

    Ade banyak lagi hujah2 gol. yg mempertahankan kwujudan bid'ah hasanah, contohnya mcm ucapan saidina umar, "sebaik2 bid'ah" pastu die ajak solat tarawih berjamaah dan laen2 lagi hujah. Yg sy tahu, semua hujah2 tu dah dijawab dgn kemas & jelas.

    Khulasah dari sy, kesimpulan dari saya, majoriti ulama ahli sunnah wal jamaah tolak kewujudan bid'ah hasanah. Kalau ade yg terima, ulama tu dari kalangan sufi.
    Allahu'alam.

    Yg penting, kita buat ape yg nabi ajar. Byk lagi yg nabi ajar tak terbuat, kenape nak buat yg direka2? Contohnya ma'thurat, tu ade hadis2 sahih nabi suh amalkan, name lain die zikir pagi dan petang. Nape tak amalkan yg tu? Nabi ajar pmudahkan waris si mati bile si mati tu mati, tapi kenape kte nak susahkan waris tu dgn buat kenduri kendara tahlilan sume tu? ... Allahu'alam. Sy jawab tak rujuk kitab mane2 ni. Kalo ade silap mtk maaf ya.

    ReplyDelete
  3. syukran abg peng atas penjelasan... dpt la sikit2 gambaran...

    ReplyDelete