Petikan: Dakwaan: Orang yang pertama merayakan maulid adalah sultan yang dikatakan seorang raja yang adil, warak, zuhud dan alim Sultan Ibnu Malik al-Muzaffar sehinggakan ulamak-ulamak yang muktabar didakwa telah menghadiri majlis maulidnya. Malah ulamak besar Syeikh Abu Khattab Ibnu Dihyah telah mengarang kitab Al-Tanwir yang membicarakan amalan maulid.
Kita jawab: Raja ini (wafat 630 H) bukanlah seperti yang didakwa itu bahkan dia seorang yang pemboros, pembazir harta rakyat dan zalim. Dialah raja yang pertama mengada-adakan (bidah) perayaan maulid nabi sehingga terbantut segala kegiatan ekonomi masyarakat, kerana perayaan ini dilakukan secara besar-besaran bermula dari bulan Safar lagi. Sambutan ini disertakan dengan nyanyian, permainan, dan berbagai-bagai bentuk hiburan. Lihat Mujamul Buldan jilid 1 ms 87 karangan Yaaqut al-Hamawi, Al-Qaulul Muktamad karangan Imam Ahmad b Muhammad Misri al-Maliki, Wafayatul Ayan karangan Ibnu Khallikan dan Duwalul Islam karangan Imam Zahabi. SANGGAHAN TERHADAP RISALAH PELAJAR PONDOK YANG BERTAJUK MAULIDURRASUL DENGAN DALIL-DALIL YANG NYATA Disediakan oleh: Ibnu Umar, Kota Bharu, Kelantan. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih Segala puja dan puji bagi Allah Tuhan yang mengutus Nabi Muhammad untuk rahmat seluruh alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi yang terakhir Muhammad s.a.w. dan ke atas keluarganya serta para sahabatnya. Merujuk kepada risalah pelajar pondok Pasir Tumbuh yang bertajuk Maulidurrasul Dengan Dalil-Dalil Yang Nyata, maka kami kemukakan risalah ini untuk memberi penjelasan kepada masyarakat, bahawa SEBENARNYA TIDAK ADA SATU PUN DALIL YANG NYATA SAMADA AL-QURAN, AS-SUNNAH, IJMA MAUPUN QlAS, BERKENAAN DENGAN AMALAN MERAYAKAN HARl KELAHIRAN NABI MUHAMMAD S.A.W. Dalil-dalil yang dikemukakan oleh pelajar pondok itu bukannya dalil ulamak Ahlissunnah, tetapi dalilnya sendiri semata-mata. Ini kerana tidak ada seorang pun di kalangan ulamak Ahlissunnah Waljamaah yang dahulu (salaf), bermula dengan para sahabat Rasulullah s.a.w., kemudian diikuti oleh para ulamak di kalangan tabien yang mengadakan sambutan maulidurrasul. Para Imam Mazhab Empat, Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam As-Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal tidak pernah mengadakan sambutan maulidurrasul. Demikianlah juga keadaannya, para Imam Hadis yang terkenal seperti Bukhari, Muslim, Tarmizi, Ibnu Majah, Abu Daud, Nasai dan lain-lain tidak pernah kedengaran di telinga kita mereka ini telah mengadakan sambutan maulidurrasul sebagaimana yang diadakan sekarang. Ulamak dan Para Imam yang tersebut di atas adalah sudah diterima dan disepakati oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia sebagai muktabar, pandangan dan mazhab mereka dipegang dan diamal oleh umat Islam sehingga kini. Jadi, kenapa kita yang mengaku bermazhab Syafie tidak mahu mengikut dan beramal dengan amalan Syafie dalam hal ini? Mungkinkah kita hanya mengaku bermazhab Syafie tetapi pegangannya tidak kita ikuti! Agaknya kitab karangan Imam Syafie yang terkenal iaitu al-Umm pun tidak baca. Oleh itu, jangan marah kalau kita katakan Hanya Orang-Orang Sesat Sahaja Yang Suka Melakukan Amalan Bidaah. CUBA KITA LIHAT SATU PERSATU HUJJAH DAN DALIL YANG DIKEMUKAKAN OLEH PELAJAR PONDOK PASIR TUMBUH ITU Hujah 1. Firman Allah yang bermaksud: Maka mereka yang beriman dengannya (Muhammad), membesarkannya dan membantunya dan mengikut cahaya (al-Quran) yang diturunkan bersamanya. Mereka itulah yang mendapat kejayaan. (Surah al-Araf, Ayat:157) Kita jawab:- Kalimah membesarkan Nabi dalam ayat ini tidak ada kaitan dengan sambutan maulid yang diadakan. Tidak ada seorang pun Ulamak Salaf dan para mufassir yang muktabar mentafsirkan ayat ini dengan mengadakan maulid. Dan setakat ini kita belum pernah terbaca dalam mana-mana kitab tafsir yang menghubungkan ayat ini dengan maulidurrasul. Mungkin pelajar pondok yang berkenaan sahajalah yang mentafsir begitu. Hujah 2. Firman Allah Taala yang bermaksud: Sesiapa yang membesarkan tanda-tanda Allah, maka membesarkan itu ialah setengah daripada menjunjung perintahNya dan menjauhi laranganNya. (al-Haj : 32) Kita jawab:- Ada sedikit perbedaan antara terjemahan yang dibawa oleh pelajar pondok dengan terjemahan yang terdapat di dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman Kepada Pengertian al-Quran yang ditulis oleh Shaikh Abdullah bin Muhammad Basmih, cetakan keenam 1983, yang berbunyi : Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin. Di sini kita tidak hendak bincang tentang perbedaan terjemahan itu, yang perlu dilihat apakah maksud Syiar-Syiar Agama Allah. Cuba kita lihat nota kaki (hasyiah) yang terdapat di dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman itu sendiri yang berbunyi: Syiar artinya : Lambang. Syiar agama Allah atau Syiar Islam ialah: Amal ibadat yang zahir dan benda-benda yang berhubung dengan ugama, yang melambangkan ugama Allah. Misalnya di dalam ibadat haji ialah tawaf, saie, berwuquf di Arafah dan sebagainya. Demikian juga binatang ternakan yang dijadikan qurban atau yang dijadikan hadyah kepada faqir miskin yang ada di Mekah. Di dalam huraian yang dibawa oleh penulis tafsir tersebut, kita tidak dapati syiar Agama Allah dimaksudkan dengan maulid, bahkan dimaksudkan dengan amalan ibadat haji itu sendiri iaitu Tawaf, Saie dan Wuquf. Untuk keterangan lebih lanjut sila rujuk tafsir al-Azhar yang di tulis oleh Prof. Dr. Hamka. Saya mencadangkan buku ini kerana ianya boleh dibaca oleh semua orang samada yang berkemampuan dalam bahasa Arab atau tidak. Kalau anda berkemampuan dalam bahasa Arab, masih banyak lagi buku-buku tafsir yang boleh anda rujuk contohnya, Tafsir Ibnu Kasir, Qurtubi, al-Munir, al-Asas fi at-Tafsir tulisan Said Hawa dan lain-lain, kesemuanya tidak mentafsir SYIAR-SYIAR ALLAH DENGAN MENGADAKAN MAULIDURRASUL. Hanya pelajar pondok berkenaan sahaja yang mentafsir begitu. Hujah 3. Meriwayat Imam Bukhari dalam Sohihnya, begitu juga Imam Ismail dan Abdul Razak : Bahawa diringankan azab Abi Lahab pada hari Isnin kerana memerdekakan Thuaibah iaitu hamba yang menceritakan khabar gembira tentang kelahiran Nabi s.a.w. Kita jawab:- Dakwaan penulis pondok berkenaan bahawa hadis ini terdapat dalam Sohih Bukhari itu adalah palsu semata-mata dan satu fitnah terhadap Imam Bukhari. Begitu juga ianya tidak terdapat di dalam riwayat Ismaieli dan Abdul Razak. Cuma Suhaifi ada mengemukakan cerita ini tanpa menyebut sanad. Sila lihat Umdatul Qari, karangan Badruddin Aini, juz. 20, halaman 95. Fathulbari, juzu 19, halaman 174 - 175. Karangan al-Hafiz Ibnu Hajar Asqalani. Raudhul Unuf, juzu 5, halaman 191. Karangan as-Suhaili. Yang ada dalam Sohih Bukhari hanyalah kata-kata Urwah berkenaan dengan Thuaibah pernah menyusukan Nabi s.a.w. setelah dimerdekakan oleh Abu Lahab. Di sana ada satu riwayat lain yang mengatakan Thuaibah tidak dimerdekakan pada hari kelahiran Nabi s.a.w. bahkan ianya dimerdekakan selepas hijrah Nabi s.a.w. ( Ibid, juzu 5, halaman 191). Dan juga tidak terdapat kata-kata Diringankan azab Abu Lahab pada hari Isnin kerana memerdekakan Thuaibah di dalam kata-kata Urwah itu. Untuk keterangan lanjut, sila lihat Sohih Bukhari, Kitabun Nikah, Bab Wa Ummahatukumullati Ardhanakum. Apa yang menghairankan kita, tidak ada seorang pun di kalangan pensyarah hadis ketika menghuraikan kata-kata Urwah ini membuat kesimpulan bahawa dengan menyambut maulidurrasul, seseorang muslim akan diringankan azabnya di dalam neraka sebagaimana yang berlaku terhadap Abu Lahab. Jelaslah idea kelebihan menyambut maulidurrasul berasaskan kata-kata Urwah itu tidak berpandukan pendapat ulamak muktabar. Berdasarkan kenyataan di atas, dapatlah kita ringkaskan seperti berikut: 1. Bahawa kata-kata tersebut adalah semata-mata kala-kata Urwah. Bukannya hadis Nabi. Lagi pun Urwah meriwayatkannya secara Mursal. Beliau tidak menceritakan daripada siapa beliau mengambil kata-kata ini. Riwayat yang mursal tidak boleh dijadikan hujjah syariyyah. II. Peristiwa diringankan azab Abu Lahab pada hari Isnin ini hanya mimpi Abbas sewaktu belum memeluk Islam. Kenyataan ini juga tidak terdapat dalam Bukhari. Ulamak sudah sepakat (ijma) bahawa mimpi seseorang apalagi seorang kafir tidak boleh dijadikan hujjah syariyyah, biar bagaimana tinggi keimanan, keilmuan dan ketaqwaannya. Kecuali mimpi para Nabi, kerana mimpi para Nabi adalah wahyu dan wahyu adalah benar. Mengikut pendapat ulamak salaf dan khalaf, bahawasanya orang kafir tidak diberi pahala di atas amalan baik yang dikerjakannya apabila mati di dalam kekufurannya itu. Ini berdasarkan kepada firman Allah Taala yang bermaksud: " Dan kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan lalu kami jadikan amal itu bagaikan debu yang berterbangan." (al-Furqaan, ayat: 23) Hujah 4. Diriwayatkan daripada Qatadah al-Ansori, Bahawasanya Nabi ditanya tentang berpuasa hari Isnin, berkata Nabi s.a.w: Itulah hari yang dilahirkan aku padanya dan diturunkan kenabian ke atasku. Kita jawab :- Hadis ini tiada kaitan langsung dengan Maulid bahkan ianya berkaitan dengan berpuasa sunat hari Isnin. Inilah sikap kita, sudah terbalik, mana amalan yang terdapat dalam hadis jarang kita amalkan, iaitu seperti berpuasa sunat hari Isnin tetapi amalan yang tiada nas seperti Maulid itu kita amalkan dan kita pertahankannya mati-matian. Sudah terbalik nampaknya seperti kata orang Burung punai kena kail, ikan sepat kena getah pemikat. Hujan ke langit, Air sungai deras ke hulu. Hujah 5. Orang yang pertama merayakan maulid adalah sultan yang dikatakan seorang raja yang adil, warak, zuhud dan alim Sultan Ibnu Malik al-Muzaffar sehinggakan ulamak-ulamak yang muktabar didakwa telah menghadiri majlis maulidnya. Malah ulamak besar Syeikh Abu Khattab Ibnu Dihyah telah mengarang kitab Al-Tanwir yang membicarakan amalan maulid. Kita jawab:- Raja ini (wafat 630 H) bukanlah seperti yang didakwa itu bahkan dia seorang yang pemboros, pembazir harta rakyat dan zalim. Dialah raja yang pertama mengada-adakan (bidah) perayaan maulid nabi sehingga terbantut segala kegiatan ekonomi masyarakat, kerana perayaan ini dilakukan secara besar-besaran bermula dari bulan Safar lagi. Sambutan ini disertakan dengan nyanyian, permainan, dan berbagai-bagai bentuk hiburan. Lihat Mujamul Buldan jilid 1 ms 87 karangan Yaaqut al-Hamawi, Al-Qaulul Muktamad karangan Imam Ahmad b Muhammad Misri al-Maliki, Wafayatul Ayan karangan Ibnu Khallikan dan Duwalul Islam karangan Imam Zahabi. Kalau Suyuti memuji raja ini bagaimana pula dengan ulamak-ulamak lain terutamanya Yaqut yang hidup sezaman dengan Raja Muzaffar itu sendiri. Siapakah agaknya lebih tahu tentang raja itu; Yaqut atau Suyuti? Berkenaan Syeikh Abu Khattab Ibnu Dihyah Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani menulis di dalam Lisanul Mizan jilid 4 ms 296. Dia seorang yang suka memburuk-burukkan imam-imam dan ulamak-ulamak salaf (bermulut hodoh), dungu, sangat sombong, dangkal dan alpa dalam hal-hal agama. Hafiz Ibnu Hajar menulis lagi tentangnya; Ibnu Najjar berkata: Saya melihat ulamak bersepakat tentang dusta dan kelemahannya. (Ibid ms 295) Besar sungguh ulamak ini sehingga semua ulamak sepakat mengatakan dia pendusta dan lemah! Ulamak-ulamak seperti inilah yang sentiasa bersedia menjadi pengampu dan pembodek raja yang zalim!! Hujah 6. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah: Bersabda Rasulullah: Tidak berhimpun satu perhimpunan pada satu majlis di dalam masjid daripada masjid-masjid Allah, lalu mereka membaca al-Quran dan bertadarus sesama mereka, melainkan turun ke atas mereka ketenangan yang diselubungi rahmat Allah serta dilingkungi para malaikat di sisinya. (Sohih Muslim). Kita jawab :- Hadis ini langsung tidak menyentuh soal Maulidurrasul, bahkan hadis ini menyentuh soal membaca al-Quran. Ini telah disepakati bahawa ianya sabit dan tidak ada apa yang hendak dibantah lagi. Yang kita bantah laiah perayaan menyambut maulidurrasul bukannya membaca al-Quran. Hujah 7. Bersabda Nabi s.a.w: Tidaklah berhimpun satu perhimpunan di dalam suatu majlis lalu mereka tidak berzikir mengingati Allah dan tidak berselawat ke atasku, melainkan kekurangan dan penyesalan ke atas mereka di hari Qiamat. Kita jawab :- Hadis inipun tidak ada kena mengena dengan maulidurrasul, dan tidak ada kena mengena dengan berdiri sewaktu berselawat. Hujah 8. Firman Allah Taala: Kami ceritakan kepada engkau setiap perkhabaran daripada kisah-kisah Nabi yang menguatkan hati engkau dengannya dan datang kepada engkau dalam perkhabaran ini, kebenaran, pengajaran dan peringatan bagi orang yang beriman. (Hud : 120). Kita jawab:- Ayat ini juga tiada kaitan langsung dengan maulidurrasul yang sedang kita bicarakan. Saya pun tidak faham kenapa Pelajar Pondok berkenaan itu membawa ayat ini dalam memberi hujjah tentang maulid. Nampaknya beliau tidak kena memasang sekeru pada nat. Kalau begini jadinya maka akan rusaklah ugama kita. Nauuzubilaah min zaalik.. Hujah 9. Meriwayatkan Imam Ahmad dan Hakim daripada Suhaib, Nabi bersabda: Seseorang yang terlebih baik di antara kamu ialah mereka yang menjamu makanan dan menjawab salam. Berkata al-lraqi hadis ini sahih sanadnya. Meriwayat Tirmizi: Bahawa sahabat-sahabat Nabi tidak bersurai mereka daripada majlis bertilawah al-Quran dan berzikir, melainkan selepas menikmati jamuan. Kita jawab:- Hadis-Hadis ini juga tidak ada kena mengena dengan merayakan maulidurrasul. Kita nampak pelajar pondok berkenaan seolah-olah ingin menyatakan bahawa apa salahnya kita merayakan maulidurrasul kerana maulid itu pengisiannya ialah selawat, berzanji, baca rawi, berzikir, baca al-Quran dan makan minum. Semua perbuatan tersebut adalah ibadah dan boleh pahala. Jadi manakah yang dikatakan bidaah itu. Adakah baca al-Quran, berzikir, berselawat itu dikatakan bidaah? Mungkin pelajar pondok tersebut menjawab tidak bidaah sekali-kali! Bahkan mendapat pahala pula. Kalau begitu keadaannya cuba pula jawab soalan ini iaitu: Kenapa kita menghukum Loteri Kebajikan Masyarakat itu sebagai judi? Tiket yang kita beli dengan harga satu ringgit itu adalah kita anggap sedekah semata-mata, kertas yang bertulis nombor itu adalah semata-mata kertas, tidak haram menyentuh kertas itu. Dan duit seratus ribu yang kita dapat itu ialah hadiah daripada Kebajikan Masyarakat semata-mata. Mana judinya, semua nampak halal belaka. Begitulah halnya maulid, kalau kila lihat pengisiannya memanglah baik-baik belaka. Sebab itulah ramai orang menjadi keliru. Yang kita persoal di sini ialah menyambut maulid itu sendiri, adakah ianya pernah dilakukan oleh sahabat, tabien dan para ulamak salafussoleh? Jawabnya tidak pernah. Jadi, kenapa pula kita memandai-mandai menokok tambah ibadat yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w, sahabat, tabien dan ulamak yang terdahulu?
Dl ANTARA SEBAB MENGAPAKAH MASYARAKAT KITA BEGITU GHAIRAH MENGADAKAN SAMBUTAN MAULIDURRASUL Di antara faktor yang menyebabkan masyarakat kita begitu ghairah mengadakan sambutan maulidurrasul, sehingga ada di kalangan mereka sanggup menyembelih beberapa ekor lembu dengan harapan akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah s.w.t. Hal ini disebabkan oleh tersebarnya hadis-hadis dan kata-kata sahabat yang palsu (maudhu) berkenaan dengan kelebihan menyambut perayaan maulidurrasul. Apa yang mendukacitakan kita, bukan sahaja pelajar-pelajar pondok yang terlibat dalam penyebaran perkara bidah ini bahkan Tok Guru pondok juga turut terlibat dalam penyebarannya. Sebagai contoh Haji Ghazali guru Pondok Tunjung mengemukakan beberapa kata-kata palsu yang disandarkan kepada Nabi s.a.w., Khulafaur Rasyidin dan Imam Syafie di dalam buku kecilnya yang bertajuk Hukum mengerjakan maulud dalam Islam. Kata-kata itu ialah: 1) Kata Saidina Abu Bakar r.a. yang bermaksud: Barang siapa membelanja ia satu dirham pada perbuatan Maulud Nabi s.a.w. nescaya adalah ia menjadi taulan dalam syurga. 2) Kata Saidina Umar r.a. yang bermaksud: Barang siapa membesar ia akan maulud Nabi s.a.w. maka sesungguhnya telah menghidup ia akan Islam. 3) Kata Saidina Othman r.a. yang bermaksud: Barang siapa yang membelanja akan ia satu dirham atas membaca kisah Maulud Nabi s.a.w. maka seolah-olah hadir ia perang Badar dan Hunain. 4) Kata Saidina Ali r.a. yang bermaksud: Barang siapa membesar ia akan Maulud Nabi s.a.w. nescaya tidak keluar ia daripada dunia melainkan dengan iman. 5) Kata Imam Syafie r.a. yang bermaksud : Barang siapa menghimpun ia akan saudaranya yang muslimin kerana memperbuatkan Maulud Nabi s.a.w. dan menyediakan bagi mereka itu makanan dan minuman dan memperbuat ia akan kebajikan nescaya membangkit oleh Allah Taala akan dia pada hari kiamat berserta siddiqin dan syuhadat dan adalah ia dalam syurga Jannatunnaim. Sebenarnya di dalam Madarijussuud (rujukan utama pengamal maulid) terdapat sabda Nabi s.a.w. sebelum kata-kata Khulafaur Rasyidin yang dikemukakan oleh Hj. Ghazali. Sabdaan itu bermaksud : "Siapa yang membesarkan maulidku aku akan memberi syafaat kepadanya pada hari kiamat nanti dan siapa yang membelanjakan satu dirham kerana maulidku maka seolah-olah dia telah membelanjakan emas sebesar Bukit Uhud di jalan Allah. Mengapa Hj. Ghazali tidak mengemukakan sabdaan ini di dalam buku kecilnya itu? Adakah dia merasakan berdusta di atas nama Nabi s.a.w. merupakan satu dosa besar yang dijanjikan tempat di dalam neraka tetapi tidak mengapa kalau di atas nama sahabat-sahabat Nabi s.a.w. terutamanya Khulafaur Rasyidin? Kalau begitulah, kaedah manakah yang digunakan oleh beliau? Sebenarnya kesemua kata-kata tersebut adalah palsu semata-mata. Kalau benar kata-kata tersebut keluar daripada mulut sahabat, kenapa para sahabat tidak pernah membuat perayaan menyambut maulidurrasul. Sedangkan para sahabatlah orang yang paling dekat dan paling kuat mencintai Nabi s.a.w.. Kalau begitu keadaannya seolah-olah para sahabat itu hanya bercakap kosong sahaja, kerana mereka hanya menyuruh orang lain membuat perayaan maulid sedangkan mereka sendiri tidak membuatnya. Kalau begitu keadaannya maka jadilah sahabat Nabi s.a.w. termasuk di dalam firman Allah yang bermaksud : Patutkah kamu menyuruh orang membuat kebaikan sedangkan kamu lupa akan diri kamu sendiri, padahal kamu semua membaca kitab Allah, tidakkah kamu berakal. (Surah al-Baqarah. ayat: 44) Nauzubillah....... Sekali-kali para sahabat tidak tergolong dalam ayat ini. Sebenarnya pencinta-pencinta maulid ini, kesemuanya mengakui bahawa maulid ini adalah bidah, tetapi bidah hasanah. Kata mereka, walaupun tidak ada nas-nas al-Quran, al-Hadis atau Ijmak tetapi ada qias kata mereka. Kalau begitu apa perlunya kepada qias kalau sudah ada kata-kata sahabat seperti tersebut di atas tadi. Bukankah kata-kata sahabat tersebut (mengikut dakwaan mereka) sudah merupakan nas yang terang dan jelas. Tetapi bagaimana pula tokoh-tokoh ulamak Islam seperti Imam Suyuthi (rujukan utama pengamal maulid) pula menafikan adanya nas seperti ini, dan beliau cuba mensabitkan maulid dengan jalan qias! Bukankah ini satu pertentangan yang nyata? Untuk mensabitkan maulud dengan jalan qias mereka mengemukakan sebuah hadis sebagai rujukan qiasnya (maqis alaih). Hadis itu bermaksud: Bahawasanya Nabi s.a.w. datang ke Madinah maka baginda dapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu hari 10 Muharram. Maka Nabi bertanya kepada orang Yahudi itu, Kerana apa kamu berpuasa pada hari Asyura? Jawab mereka, Itu adalah hari peringatan. Pada hari ini dikaramkan Firaun dan pada hari ini juga Musa dapat kelepasan. Dan kami berpuasa kerana bersyukur kepada Tuhan. Maka Nabi menjawab, Kami lebih patut menghormati Musa berbanding daripada kamu. Tetapi qias yang seperti ini dinamakan qias maal fariq (qias dengan sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan apa yang didakwakan) kerana bukankah sebagai menyatakan kesyukuran Nabi s.a.w. berpuasa pada hari 10 Muharram itu sepertimana orang-orang Yahudi berpuasa tetapi adakah kita berpuasa untuk merayakan hari kelahiran Nabi s.a.w. itu dan kalau kita berpuasa pada hari itu apa ertinya berpuasa pada hari perayaan? Dan orang-orang Yahudi bersyukur kerana kelepasan Nabi Musa daripada bencana Firaun bukannya kerana menyambut hari kelahiran Nabi Musa a.s. Daripada perbincangan yang lalu saudara/ri pembaca dapat melihat bagaimana untuk menegakkan perkara bidah itu, penyebar-penyebarnya terpaksa berdusta dan mengemukakan dalil-dalil serta hujah-hujah yang terdiri daripada nas-nas palsu bermula daripada pelajar pondok (yang berkenaan) sehinggalah kepada Tok Guru pondok (berkenaan). Sebagai mengakhiri risalah ini kami berseru kepada muslimin muslimat supaya menjauhi amalan-amalan bidah seperti maulid ini kerana ia jelas tidak bersumberkan nas-nas yang terang dalam syariat dan marilah sama-sama kita mengikut Al-Quran, Sunnah Nabi dan juga Sunnah Para Sahabat sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya sesiapa yang akan hidup daripada kamu selepasku, dia pasti akan melihat banyak perselisihan. Oleh itu, mestilah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafaurrasyidin yang terpimpin. Berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah dengan geraham-geraham kamu. Hindarilah perkara-perkara baru (dalam urusan ugama) kerana semua perkara baru (dalam ugama) itu bidah dan semua bidah itu adalah sesat." (Riwayat Tirmizi j.2 ms.92, Abu Daud j.2 ms.279 dan lain-lain) Demikianlah sanggahan kami terhadap risalah pelajar pondok tersebut. Insya-Allah lain hari, di lain waktu kami akan kemukakan pula hujjah-hujjah para Ulamak Mutabar yang menentang amalan sambutan maulidurrasul ini. Sekian, wabillahittaufiq wal hidayah Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. |